Windows XP adalah salah satu daripada keluarga sistem pengendalian windows keluaran Microsoft. Akronim XP adalah singkatan daripada
perkataan eXPerience (pengalaman). Semasa
pembangunannya, Windows XP dikenali dengan nama kod Whistler sempena nama
tempat percutian kebanyakan kakitangan Microsoft semasa pembangunannya iaitu
di Whistler, British Columbia, Kanada. Dilancarkan pada 25 Oktober 2001, Windows XP adalah pewaris kepada Windows
2000 dan Windows
Me, menjadikannya keluarga Windows
berorientasikan pengguna terawal yang dibina berasaskan teknologi inti windows NT. Setakat Januari 2006, lebih 400 juta salinan perisian
Windows XP telah terjual di seluruh dunia. Windows XP kini telah digantikan
dengan Windows Vista.
Windows XP sangat dikenali kerana
reputasinya sebagai salah satu sistem pengendalian paling
stabil pernah dibina oleh Microsoft, kerana Windows XP dibina berasaskan
teknologi Windows 2000 yang terbukti sangat stabil. Windows XP juga adalah versi
Windows pertama yang menggunakan teknologi pengaktifan perisian (dan
seterusnya Windows Genuine Advantage) bagi mengekang kegiatan cetak
rompak, walaupun mekanisme pengaktifan
tersebut telah berjaya ditangani oleh lanun-lanun cetak rompak.
Sejarah pembangunan
Sejarah pembangunan Windows XP
bermula sejak daripada proses pembangunan Windows 2000 yang asalnya dibina bagi menggantikan Windows NT 4.0 dan Windows
98, Walau baganmanapun, rancangan
tersebut telah diubah apabila Microsoft melancarkan Windows 98 SE. Pada tahun
1999, Microsoft mula membangunkan Windows Neptune sebagai versi pengguna rumah bagi Windows 2000. Walau
bagaimanapun, projek Neptune tersebut dibatalkan dan digantikan dengan Windows
Me, iaitu sistem pengendalian
keluarga Windows 9x yang terakhir. Projek Neptune tersebut kemudiannya
digantikan dengan projek Whistler yang seterusnya membentuk Windows XP.
Edisi Windows XP
Secara umumnya, Windows XP secara
lazimnya terdiri daripada 2 versi utama, iaitu:
- Windows XP Home Edition - versi yang disasarkan kepada pengguna
rumah.
- Windows XP Professional - versi yang disasarkan untuk kegunaan perniagaan
dan pengguna komputer berkuasa tinggi. Windows XP Professional mengandungi
ciri-ciri istimewa yang tidak terdapat pada versi Home
Edition.
Selain itu, terdapat edisi khas
Windows XP yang dibina untuk beberapa jenis komputer khusus, iaitu:
- Windows XP 64-bit Edition - untuk komputer stesen kerja yang menggunakan pemproses intel itanium. Windows XP Professional x64 Edition -
untuk komputer dengan pemproses 64-bit (jangan terkeliru dengan
edisi 64-bit di atas, ia hanya untuk komputer stesen kerja dengan
pemproses Intel Itanium sahaja).
- Windows XP Media Center Edition - untuk komputer pusat media.
Pusat media adalah komputer khas yang turut dilengkapi talaan siaran televisyen dan radio serta pelbagai ciri-ciri lain. Edisi ini tidak
dijual berasingan tetapi disertakan dengan komputer pusat media
tersebut.
- Windows XP Tablet PC Edition - untuk komputer riba khas yang dikenali
sebagai PC tablet.
Tidak seperti komputer riba biasa, PC tablet menggunakan sistem pengecaman
tulisan pengguna dan pengguna "menulis" menggunakan pen stylus
pada skrin yang sensitif dengan pen tersebut. Seperti pusat media, edisi
PC tablet tidak dijual berasingan dan disertakan dengan pembelian PC
tablet tersebut.
- Windows XP Embedded - sistem pengendalian terbenam bagi peralatan elektronik
pengguna khusus seperti mesin ATM, peranti perubatan, permainan video arked,
terminal jualan serta komponen VoIP.
- Windows
Fundamentals for Legacy PCs -
disasarkan kepada sebilangan kecil pengguna khusus Microsoft Software Assurance yang ingin menggunakan Windows XP tetapi hanya
mampu memiliki komputer lama (seawal zaman pemproses Pentium).
Windows XP Starter Edition
Windows XP Starter Edition adalah
versi berkos rendah yang diedarkan di beberapa buah negara termasuklah Malaysia. Di Malaysia, Windows XP Starter Edition menggunakan Bahasa
Melayu bertujuan untuk membantu
meningkatkan kadar celik IT di kalangan pengguna serta bagi memerangi cetak
rompak. Sungguhpun demikian, versi
tersebut mempunyai beberapa limitasi, iaitu Starter Edition hanya boleh
digunakan pada komputer berkuasa rendah, membenarkan sehingga hanya 3 perisian
dibuka pada satu-satu masa, serta terdapat beberapa ciri yang dimansuhkan
ataupun dinyahupayakan secara lalai.
Windows XP edisi N
Pada Mac 2004, Kesatuan Eropah telah
menyaman Microsoft sejumlah €497 juta (AS$603 juta) atas dakwaan memonopoli
perisian pemain media menerusi penyertaan Windows Media Player di
dalam sistem pengendalian Windows. Selain itu, Microsoft diperintahkan untuk
menghasilkan versi Windows XP tanpa Windows Media Player, dikenali
sebagai edisi N (tanpa Windows Media Player). Walau bagaimanapun,
edisi N tersebut mendapat sambutan dingin di kalangan pengguna serta pengeluar
komputer kerana harga bagi edisi N adalah sama dengan edisi biasa dengan
Windows Media Player, menyebabkan pengguna dan pengeluar berasa rugi.
Ciri-ciri terkini dan diperbaharui
Windows XP memperkenalkan beberapa
ciri terkini, antaranya:
- Proses memulakan Windows dan hibrenasi yang
lebih pantas.
- Keupayaan untuk menyisihkan pemacu peranti yang
lebih baru dan kembali ke pemacu peranti lama sekiranya pemacu peranti
yang baru menimbulkan masalah. Ciri ini dikenali sebagai pengembalian
pemacu peranti (driver rollback).
- Antaramuka yang lebih mesra pengguna serta rangka kerja
yang membolehkan syarikat perisian mereka tema paparan.
- Penukaran pengguna pantas, yang membolehkan pengguna
menukar ke akaun pengguna lain tanpa menutup program di dalam akaun
pengguna yang masih terbuka.
- Mekanisme penjanaan fon ClearType bagi membolehkan teks
pada monitor LCD dapat dibaca dengan jelas. Fungsi Remote
Desktop, yang membolehkan pengguna mengendalikan komputernya dari komputer
lain yang turut menggunakan Windows XP melalui rangkaian komputer ataupun
internet.
- Menyokong modem DSL serta rangkaian tanpa wayar.
Antaramuka
Antaramuka Windows XP adalah
berorientasikan tugasan. Menu Start dan enjin pencari direka semula dan
pelbagai kesan visual turut ditambah, termasuklah:
- Petak segiempat tepat dengan warna biru lutcahaya di
dalam Explorer
- Grafik seakan-akan "watermark" pada ikon
folder, menunjukkan jenis fail yang tersimpan di dalamnya
- Bayang-bayang pada label ikon di dalam desktop
- Bar tepi berasaskan tugasan pada tetingkap
Explorer
- Keupayaan untuk menghimpunkan banyak butang tetingkap
bagi program yang sama pada satu butang sahaja
- Keupayaan untuk mengunci bar tugasan serta bar alatan
lain bagi mengelakkan perubahan yang tidak disengajakan
- Paparan program yang baru dipasang pada menu Start.
- Bayang-bayang di bawah menu (Windows 2000 ada
bayang-bayang pada kursor tetikus, tetapi bukan pada menu)
Tema persekitaran Windows XP
dikenali sebagai Luna, tetapi pengguna berupaya untuk menukar tema lain dengan
memasang program penukar tema yang boleh dimuat turun melalui internet.
Keperluan sistem
Keperluan sistem adalah seperti
berikut:
Minimum
|
Disyorkan
|
|
Pemproses
|
233 MHz
|
300 MHz
atau lebih tinggi
|
Ingatan
|
128 MB
RAM lebih tinggi
|
|
Kad
grafik dan monitor
|
Super VGA (800 x 600)
|
Super
VGA (800 x 600) atau resolusi lebih tinggi
|
Ruangan
bebas cakera keras
|
1.5 GB
|
1.5 GB
atau lebih tinggi
|
Pemacu
|
CD-ROM
atau lebih baik
|
|
Peranti
|
Papan
kekunci and tetikus
|
Papan
kekunci dan tetikus
|
Lain-lain
|
Kad
bunyi, pembesar suara dan fon kepala
|
Nota: Windows
XP SP2 memerlukan tambahan 1.8 GB cakera keras bagi tujuan pemasangan.
Pek servis dan sokongan
Setakat ini Microsoft telah menghasilkan
2 pek servis, dan Service Pack 3 (SP3) masih dalam peringkat pembangunan.
Windows XP tanpa pek servis
Sokongan tanpa pek servis telah
tamat pada 30 September 2004.
Service Pack 1
Dilancarkan pada 9
September 2002, SP1 dilengkapi utiliti bagi membolehkan pengguna memilih
perisian aplikasi utama bagi aktiviti seperti melayari laman
web. SP1 juga menyokong USB 2.0 dan SATA. Sokongan
terhadap SP1 tamat pada 10 Oktober 2006.
Service Pack 2
Windows XP SP2 dilancarkan
pada 6 Ogos 2004 dengan memfokuskan terhadap keselamatan sistem. SP2
dilengkapi perisian firewall yang lebih bersepadu, sokongan Wi-Fi yang lebih baik, penyekat iklan "pop-up"
pada Internet Explorer dan Pusat Keselamatan Windows yang memantau
keadaan perisian antivirus,
Windows Update dan perisian firewall. SP2 juga turut menyokong teknologi Bluetooth.
Service Pack 3
Windows XP SP 3 telah di sebarkan
pada 23 April 2008 (bagi pelanggan TechNet dan MSDN)dan
6 Mei 2008 bagi pengguna umum.
Kitaran jangka hayat sokongan
Sokongan terhadap Windows XP tanpa
pek servis serta SP1 telah pun ditamatkan, manakala sokongan terhadap SP2 akan
tamat dalam masa 4 tahun selepas dilancarkan. Walaupun Microsoft memberi
jaminan Windows XP masih boleh didapati di pasaran dalam masa 12 bulan selepas
pelancaran Windows Vista di pasaran antarabangsa pada 30 Januari 2007, kebanyakan pengeluar komputer sudah tidak lagi menjual
komputer baru dengan Windows XP hanya beberapa bulan selepas pelancaran Vista.
Pada 14 April 2009, Windows XP akan memasuki fasa pemanjangan sokongan yang
akan tamat pada tahun 2014
Selengkapnya DISINI
0 komentar:
Komentar Anda
Berikan komentar..